Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

MFL: Kenaikan harga tiket Liga-M tidak dapat dielak

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak menghalang mana-mana pasukan menaikkan harga tiket perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) meskipun terdapat saranan supaya ia dikekalkan berikutan situasi semasa pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata kenaikan itu disebabkan faktor peningkatan kos yang bakal ditanggung pasukan apabila kehadiran penyokong ke stadium dibenarkan bermula 1 April ini.

Beliau berkata perbelanjaan pasukan akan meningkat apabila perlu menambah jumlah petugas di stadium selain menyediakan pelbagai kemudahan diperlukan sebagai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi memelihara konsep gelembung sukan.

Selain daripada itu, beliau berkata kelab bola sepak perlu menampung kos penyediaan kemudahan seperti cecair pembasmi kuman dan alat pengimbas suhu.

Harga barang pun naik pada masa ini, jadi saya rasa harga tiket pun akan naik, tidak dapat dielakkan. Apa yang penting peminat menyokong sebab apa dibelanjakan adalah untuk pasukan dan secara tidak langsung membantu pasukan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada masa sama, Ab Ghani berkata MFL telah meminta vendor tiket perlawanan Liga-M untuk menyediakan petugas serta kemudahan seperti pengimbas kod respons pantas di setiap stadium sebagai usaha meringankan beban pasukan.

“Perkara ini sedang diteliti, saya percaya vendor tiket dilantik MFL akan menyediakan kemudahan tersebut, jadi tidak perlu untuk pasukan berbelanja untuk perkara itu atau menanggung apa-apa lagi kos,” katanya.

Isnin lepas, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyarankan harga tiket Liga-M dikekalkan seperti sedia ada, namun menyerahkan kepada MFL selaku badan pentadir Liga-M untuk mengadakan perbincangan berhubung perubahan itu.

“Saya sendiri menyokong saranan itu kerana ia penting memandangkan keadaan ekonomi hari ini, tetapi apabila saya melihat kepada keadaan pasukan ketika ini, mereka perlu menaikkan harga tiket atas sebab-sebab tertentu,” kata Ab Ghani.

Dalam pada itu, Ab Ghani berkata beliau akan meminta semua pasukan untuk menghantar cadangan kenaikan harga tiket masing-masing untuk diteliti MFL terlebih dahulu.

Media sebelum ini melaporkan penyokong kemungkinan terpaksa menanggung kenaikan harga tiket perlawanan pada kadar sekitar RM5 hingga RM10 selepas dibenarkan kembali menyaksikan perlawanan di stadium bermula bulan depan.

Ia selepas beberapa pasukan Liga-M memberi bayangan bagi menaikkan sedikit harga tiket perlawanan daripada kebiasaan dalam menampung kos tambahan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

– BERNAMA


Pengarang :