BERITA UTAMASELANGOR

MB galak penduduk Seri Kembangan sertai Saringan Komuniti percuma Sabtu ini

SHAH ALAM, 24 MAC: Penduduk sekitar Seri Kembangan digalakkan menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma Sabtu ini.

Dato’ Menteri Besar berkata program mengekang penularan wabak virus itu diadakan di Jalan Medan Belimbing, Taman Bukit Belimbing bermula 9 pagi hingga 4 petang.

“Penduduk terutama yang tinggal di Taman Belimbing, Taman Juara Jaya, Bandar Damai Perdana dan Kampung Baru Balakong digalakkan menjalani saringan ini.

“Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my ,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor menerusi Pakej Kita Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan saringan berkenaan di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Antara lokasi dianjurkan di Dewan Seksyen 19, Seksyen 7 dan Seksyen 25, Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya dan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam; Dewan Serbaguna MPSJ, Bandar Bukit Puchong dan Taman Batu Tiga, Subang Jaya.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas, kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.

 


Pengarang :