Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad menyampaikan Anugerah Wanita Sentosa kepada penerima ketika Majlis Minum Petang WOW Sentosa sempena Hari Wanita Sedunia di Klang Executive Club, Klang pada 20 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pekawanis jaya Tadarus al-Quran dalam talian sepanjang Ramadan

KLANG, 21 MAC: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) akan menganjurkan Tadarus al-Quran secara maya sepanjang Ramadan ini.

Yang dipertuanya berkata ia adalah satu daripada empat program dijalankan selain Hari Ibu, agihan bubur lambuk dan sumbangan Aidilfitri kepada golongan memerlukan.

“Tadarus al-Quran satu juzuk setiap hari bermula 1 Ramadan dari jam 12 tengah hari hingga masuk waktu solat fardu zuhur akan dikendali guru berpengalaman dengan sasaran peserta dari seluruh Selangor,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis minum petang anjuran Wonderful of Women (WOW) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di Kelab Eksekutif Klang di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menyediakan peruntukan kepada setiap ahli Pekawanis untuk menjalankan sambutan Hari Ibu mengikut kreativiti seperti majlis anugerah Ibu Mithali, ziarah dari rumah ke rumah menyampaikan penghargaan atau berbuka puasa.

“Bagi program agihan bubur lambuk, ahli dicadang mengadakan gotong-royong bersama ahli masjid atau pihak berkaitan sebelum diagih ke bazar Ramadan dan pendudu kampung kerana kita mahu mereka turun ke bawah bersama masyarakat sepanjang bulan puasa,” katanya lagi.

Menurutnya, sumbangan Aidilfitri yang menjadi acara tahunan diteruskan bagi membantu keluarga kurang berkemampuan dengan menyasarkan 30 penerima tahun ini.


Pengarang :