Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau Pusat Operasi C5i Smart Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 3 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pusat kawalan pintar pantau operasi kutipan sampah, bencana

SHAH ALAM, 4 MAC: Selangor negeri pertama mewujudkan pusat kawalan pintar yang dilengkapi lima fungsi bersepadu bagi menyelaras operasi agensi kerajaan.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC) berperanan dalam arahan, kawalan, komunikasi, komputer dan kerjasama.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia berupaya memantau kelajuan Bas Smart Selangor, operasi kutipan sisa pepejal, keselamatan dan pengurusan bencana termasuk pencemaran.

“Negeri lain mungkin ada pusat operasi, namun sekadar memapar rakaman kamera litar tertutup sahaja berbanding SSOC yang mampu menempatkan beberapa agensi penting,” jelasnya.

Beliau yang ditemui di Dewan Jubli Perak di sini semalam, menambah fungsi pusat kawalan itu akan dipertingkat dari masa ke masa termasuk proses integrasi dron bagi mengesan pencemaran sungai.

Menurut Amirudin, semua pihak berkuasa tempatan negeri juga akan melalui proses gabungan perkhidmatan bersama SSOC secara berperingkat.

“Kerajaan Negeri komited untuk menerapkan pendigitalan dalam pentadbiran, menyelaras kerja agensi serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” katanya lagi.

Pusat kawalan dengan kos RM6 juta beroperasi selama 24 jam mulai awal tahun ini yang turut dilengkapi jaringan internet berkelajuan tinggi.


Pengarang :