Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan Mat Yusop memberikan penerangan ketika sidang media diadakan di Bangunan Zakat Selangor, Shah Alam pada 23 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ramai bayar zakat fitrah bersemuka, LZS lantik 2,800 amil mudahkan urusan

SHAH ALAM, 20 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menempatkan 2,800 amil fitrah di 431 masjid dan surau bagi urusan kutipan zakat sepanjang Ramadan nanti.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata bilangan itu lebih tinggi berbanding 1,878 amil tahun lalu memandangkan ramai umat Islam memilih cara bayaran secara bersemuka.

“LZS galakkan pembayaran dalam talian tambahan lagi ketika pandemik Covid-19 ini. Bagaimanapun kita dapati cara bayaran kepada amil tetap jadi pilihan.

“Tahun lalu sebanyak RM18 juta dikutip menerusi transaksi secara maya selama sebulan. Kutipan menerusi amil untuk dua minggu pula RM13 juta, jadi kita putuskan tambah bilangan,” kata Saipolyazan Mat Yusop ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya kadar zakat fitrah ditetapkan tahun ini sama seperti tahun lalu iaitu RM7, RM14 dan RM21 mengikut jenis beras selaras kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri.

“LZS menyeru orang ramai yang masih tidak mampu mengganti puasa membuat bayaran fidyah secepat mungkin.

“Untuk tahun ini, kita peruntukkan RM33 juta bagi bantuan raya dan mula disalurkan sehari sebelum Ramadan,” katanya.


Pengarang :