Petugas Kesihatan Selcare mengimbas kod bar Selangkah sebelum membuat saringan Covid-19 ketika program Ujian Saringan Komuniti secara bersasar di Dewan Orang Ramai Teluk Panglima Garang , Kuala Langat pada 20 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Hampir 7,000 individu sertai Saringan Komuniti percuma sejak Februari

KUALA LANGAT, 20 MAC: Hampir 7,000 individu menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma sejak awal Februari hingga semalam.

Pengurus Klinik Selcare berkata jumlah itu termasuk 894 warga emas di 32 pusat jagaan di Selangor.

Justeru, Mohd Noor Md Nasir merayu orang ramai terus hadir menjalani saringan percuma selagi belum menerima suntikan vaksin Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga.

“Mungkin disebabkan kemasukan vaksin di negara ini orang awam tidak mahu lagi melakukan ujian Covid-19.

“Namun, ingin saya ingatkan selagi anda belum terima suntikan vaksin itu, saya merayu anda untuk hadir membuat saringan secara percuma ini,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Saringan Komuniti Covid-19 yang diadakan di Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang, di sini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh Selangor untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.


Pengarang :