Ladang cili milik Pengarah Urusan Pewaris Bumi Hijau (M) Sdn Bhd, Norhashim Kamisan menggunakan Smart Farming IoT, aplikasi yang boleh dimuat turun dalam telefon pintar tidak kira android atau iOS. Ladang cilinya terletak di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Selangor pegang saham terbesar Pertubuhan Peladang Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor, menjadi pemegang saham terbesar dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melibatkan nilai RM13.1 juta atau 20 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai saham Nafas iaitu RM65.56 juta.

Terbaru, PPN Selangor menambah pelaburan sebanyak RM2 juta kepada Nafas.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPN Selangor Datuk Abd Rahman Bakri berkata, PPN Selangor mempunyai keahlian seramai 55,857 orang setakat 31 Dis 2020 yang terdiri daripada 14 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), dengan jumlah keseluruhan saham yang dilaburkan sebanyak RM3.79 juta.

Katanya sehingga tempoh berakhir 31 Dis 2020, jumlah keseluruhan saham PPN Selangor di Nafas adalah RM9.91 juta.

“Daripada jumlah pelaburan ini, dividen yang diperolehi sehingga 31 Dis 2020 adalah berjumlah RM1.18 juta menjadikan jumlah pelaburan saham di Nafas sehingga 31 Dis 2020 berjumlah RM11.1 juta.

“Harapan saya dengan penambahan saham di Nafas ini, mendapat pulangan pelaburan yang kekal positif dengan memberi pulangan yang lebih tinggi dan antara impaknya ialah memberi manfaat kepada seluruh ahli kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pasukan Khas Benih Padi Sah dan Padi Asas serta Majlis Penyerahan Tambahan Saham PPN Selangor kepada Nafas malam tadi.

Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pasukan Khas Benih Padi Sah dan Padi Asas yang diadakan buat julung kali itu berlangsung selama dua hari melibatkan pengerusi PPN bersama bahagian dan agensi berkaitan industri padi dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Lembaga Pertubuhan Peladang, Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Ia antara lain bagi membincangkan hal berkaitan industri padi yang melibatkan kerjasama dalam memainkan peranan masing-masing bagi menambah baik serta meningkatkan hasil pengeluaran padi negara.

-BERNAMA


Pengarang :