Petugas Kesihatan Selcare mengambil sampel ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) ketika Saringan Komuniti percuma di Dewan Serbaguna MPAJ, Ampang pada 28 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selcare yakin mampu saring 50,000 individu menjelang Ogos

AMPANG, 28 MAC: Klinik Selcare yakin mampu menyaring 50,000 individu menerusi program Saringan Komuniti menjelang Ogos, kata pengurusnya.

Mohd Noor Md Nasir berkata saringan percuma Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri bermula Februari lalu akan dilaksana secara berterusan dalam tempoh enam bulan bagi mencapai sasaran tersebut.

“Hebahan program saringan lebih awal akan terus dipergiat dengan bantuan pemimpin setempat dan persatuan penduduk selain memperkemas strategi sedia ada.

Pengurus Operasi Klinik Selcare, Mohd Noor Md Nasir

“Meskipun program vaksinasi sudah bermula namun saringan tetap berjalan sepanjang tempoh ini, justeru kita juga akan fokus masuk ke kawasan yang memiliki capaian vaksinasi rendah,” katanya.

Beliau ditemui pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Kampung Pandan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Noor berkata hampir 8,000 individu menyertai saringan percuma menerusi beberapa siri sejak 5 Februari lalu.

Menurut beliau, 80 peratus daripada jumlah itu membabitkan warga tempatan manakala baki bukan warganegara.

“Rata-rata peserta memberi kerjasama yang baik malah warga asing turut menunjukkan komitmen untuk menjalani saringan.

“Cuma proses pendaftaran untuk warga asing memakan sedikit masa kerana majoritinya tidak mahir dengan teknologi maklumat (IT), jadi (pendaftaran) banyak dibuat secara manual dan petugas membantu di kaunter,” katanya.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor menerusi Pakej Kita Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan saringan berkenaan di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas, kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.


Pengarang :