Kawasan parkir terhad menyukarkan orang ramai yang mahu berurusan di bangunan berhampiran sekitar Petaling Jaya. Foto SHEEDA FATHIL
EXCOSELANGOR

Wujud parkir khas di zon sesak, terhad dua jam

SHAH ALAM, 9 MAC: Kerajaan Selangor akan mewujudkan petak tempat letak kereta khas di zon sesak dalam tempoh terhad dua jam sahaja.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata langkah itu bagi memberi peluang kepada pengguna lain mendapatkan parkir di kawasan sibuk dan padat.

Menurutnya, kadar bayaran ditetapkan 50 sen bagi setiap 30 minit dan pengguna yang melanggar tempoh maksimum bakal dikompaun.

“Ia akan dikuat kuasa selepas pindaan ke atas jadual Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) diguna pakai pihak berkuasa tempatan negeri ini diwartakan,” katanya dalam sidang media di Wisma MBSA di sini.

Sementara itu, datuk bandar Shah Alam berkata tiga lokasi dikenal pasti bagi pelaksanaan tersebut meliputi Glenmarie, Kota Kemuning dan Sungai Buloh.

Jelas Dato’ Haris Kasim, kewujudan petak parkir khas akan membantu lebih ramai pengguna untuk berurusan di kawasan tumpuan tanpa perlu menunggu lama.

“Kawasan berkenaan antara syor peringkat awal yang akan diperluas lagi,” katanya.


Pengarang :