Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama beberapa EXCO dan ADUN bergambar bersama aneka barangan keluaran Hasil Suri Selangor (HASSEL) ketika berkunjung ke ruang pameran selepas merasmikan Persidangan Wanita Selangor Hybrid 2021 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

19 kertas kerja dikumpul rungkai pelbagai isu

SHAH ALAM, 24 APRIL: Sebanyak 19 kertas kerja berjaya dikumpul untuk dibentangkan pada Persidangan Wanita Selangor Hybrid yang berlangsung selama lima hari.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata kertas kerja itu membahaskan isu kesihatan, pendidikan, kekeluargaan, politik dan kepimpinan, pemberdayaan ekonomi, sektor pekerjaan serta kesenian.

Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan semua kertas kerja yang dibentangkan ilmuwan akan diadili jawatankuasa panel penilai dalam 10 pakar bidang khusus.

Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan ucapan dalam Persidangan Wanita Selangor Hybrid 2021 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Saya berterima kasih kepada jawatankuasa panel penilai kerana sudi memanfaatkan kebitaraan dalam bidang masing-masing untuk memastikan penyelidikan dan kajian melalui persidangan ini mencapai tahap selayaknya,” katanya.

Beliau berucap pada persidangan itu sempena Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) Hybrid di Foyer SUK di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berharap persidangan tersebut memberi input bermakna bagi memastikan agenda Kerajaan Negeri berkaitan wanita dapat dilaksana secara menyeluruh.

Beliau juga berhasrat menjadikan persidangan itu sebagai acara tahunan di bawah portfolionya dengan kerjasama Wanita Berdaya Selangor selepas melihat kepentingan kerajaan mendepani isu wanita.

“Justeru, saya mendoakan persidangan ini berjaya membuka minda seluruh lapisan masyarakat untuk memahami lebih mendalam tentang isu wanita sekali gus memberi manfaat kepada pembangunan negara,” katanya lagi.

 


Pengarang :