Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 19 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

2,717 kes baharu Covid-19, Selangor tertinggi

SHAH ALAM, 24 APRIL: Jumlah kes harian Covid-19 kekal di atas paras 2,000 apabila 2,717 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah kumulatif kes 390,252.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasminya memaklumkan Selangor merekodkan kes baharu tertinggi dengan 768, diikuti Sarawak (570), Kelantan (518), Kuala Lumpur (240), dan Pulau Pinang (134).

Sejumlah 132 kes direkodkan di Sabah, diikuti Johor (126), Perak (54), Terengganu (50), Kedah (34), Melaka (30), Negeri Sembilan (27), Pahang (22), Putrajaya (11), Perlis (1) selain tiada kes baharu di Labuan (0).

Sementara itu, menerusi kenyataan rasmi mengenai perkembangan Covid-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu dilaporkan, 26 adalah kes import manakala 2,691 kes melibatkan penularan dalam negara.

“Kes import melibatkan dua warganegara dan 24 bukan warganegara manakala kes tempatan membabitkan 2,493 warganegara dan 198 bukan warganegara,” katanya.

Beliau berkata 2,292 kes sembuh dicatatkan manakala 272 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 124 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya sebanyak 11 kematian dilaporkan melibatkan 10 warga tempatan dan seorang bukan warganegara yang membawa kepada jumlah kumulatif sebanyak 1,426 kematian manakala kes aktif kini 22,926.

Dr Noor Hisham juga berkata 10 kluster baharu dikesan hari ini dengan tujuh melibatkan tempat kerja, dua kluster komuniti dan satu kluster sekolah atau institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


Pengarang :