Selangorkini
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dijangka cecah paras 1,600 minggu depan

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka mencecah paras 1,600 minggu depan sejajar dengan keyakinan tinggi terhadap ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan lantunan semula harga komoditi, kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata, bagaimanapun, indeks utama dijangka dipengaruhi prestasi saham sarung tangan berikutan peningkatan kadar pemvaksinan di seluruh dunia yang akan mengurangkan permintaan terhadap barangan perubatan seperti sarung tangan.

“Pengeluar sarung tangan membawa impak negatif kepada pasaran minggu ini, manakala sektor lain dijangka bertambah baik seperti sektor perbankan serta minyak dan gas,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual menerusi e-mel.

Saham sarung tangan terjejas pada Rabu selepas Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS mengarahkan kakitangan di semua pelabuhan AS merampas sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan di Malaysia oleh Top Glove Corp.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata FBM KLCI dijangka diniagakan dalam jajaran ketat antara 1,590 hingga 1,600 mata tetapi boleh melepasi paras 1,600 mata sekiranya ada perkembangan positif mengenai vaksin yang berdepan penelitian rapi di Eropah.

“Oleh itu, pemacu bagi kenaikan minggu depan dijangka datang daripada sektor berkaitan pertumbuhan ekonomi seperti pengeluaran perindustrian, perkhidmatan kewangan dan minyak dan gas,” katanya.

Indeks tenaga mengakhiri minggu yang baru berakhir ini naik 1.94 mata untuk ditutup kepada 937.12 apabila penanda aras minyak mentah Brent melonjak 3.38 peratus kepada US$64.86 setong selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya akan menambah lebih daripada dua juta tong sehari kepada bekalan minyak dunia antara Mei dan Julai.

Langkah itu akan membina semula satu perempat stok minyak mentah selepas kartel minyak itu dan sekutunya mengurangkan dengan banyak pengeluaran setahun lalu disebabkan pandemik Covid-19.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI turun 16.07 mata kepada 1,585.35 daripada 1,601.42 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 35.19 mata kepada 11,743.10, Indeks FBMT 100 susut 50.62 mata kepada 11,393.36 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 72.31 mata kepada 13,005.85.

FBM 70 meningkat 178.86 mata kepada 15,729.32 dan Indeks FBM ACE susut 727.99 mata kepada 9,789.12.

Mengikut sektor, Indeks Teknologi menokok 4.16 mata kepada 87.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.61 mata kepada 194.02, Indeks Perladangan susut 54.91 mata kepada 7,045.54 dan Indeks Penjagaan Kesihatan jatuh 78.87 mata kepada 2,937.70.

Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 23.73 mata kepada 15,276.56 dan Indeks Tenaga turun 13.87 mata kepada 937.12.

Jumlah dagangan meningkat kepada 35.38 bilion unit bernilai RM18.02 bilion daripada 27.58 bilion unit bernilai RM14.63 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 23.28 bilion saham bernilai RM14.77 bilion daripada 16.44 bilion saham bernilai RM11.42 bilion.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 3.51 bilion unit bernilai RM374.24 juta daripada 828.19 juta unit bernilai RM176.07 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 10.75 bilion saham bernilai RM3.03 bilion daripada 10.05 bilion saham bernilai RM3.03 bilion pada minggu sebelumnya.

– BERNAMA


Pengarang :