Anggota Rela ditugaskan di laluan masuk dan keluar Bazar Ramadan Taman Delima, Kajang. Pengunjung perlu beratur dengan penjarakan sosial dan mengimbas kod QR MYSejahtera serta saringan suhu badan sebelum memasuki tapak bazar. Imej dirakamkan pada 14 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Diberi kuasa keluar kompaun, Kerajaan Negeri sedia beri kerjasama

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama penuh selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan kompaun bagi ketidakpatuhan tatacara operasi piawai (SOP) di bazar Ramadan.

EXCO kerajaan tempatan berkata usaha itu bagi membantu negara mencegah gelombang Covid-19 yang baharu serta melandaikan lengkuk penularan wabak di negeri ini.

“Semua PBT di Selangor turut diarahkan supaya sentiasa melakukan pemantauan dan pengawalan ketat di tapak bazar Ramadan bagi memastikan pematuhan terhadap SOP,” kata Ng Sze Han dalam kenyataan.

Datuk bandar, yang dipertua dan pegawai penguat kuasa PBT Gred 19 ke atas diberikan kuasa mengeluarkan kompaun terhadap individu ingkar SOP di bazar Ramadan mulai semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kuasa yang diberikan itu bertujuan supaya PBT dapat mengambil tindakan secara terus atas ketidakpatuhan SOP yang berlaku serta kesalahan lain mengikut Akta 342.

Katanya, MKN menerima aduan orang ramai mengenai ketidakpatuhan SOP di beberapa bazar Ramadan di seluruh negara dan perkara itu dipandang serius kerana penularan Covid-19 masih di tahap membimbangkan.

 


Pengarang :