Mohd Zawawi (dua, kiri) bersama pegawai KPDNHEP Selangor ketika melakukan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 di Pasar Besar Meru, Klang pada 27 April 2021. Foto Facebook Zawawi Mughni
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO jamin bekalan ayam, daging cukup menjelang Aidilfitri

SHAH ALAM, 28 APRIL: Bekalan bahan mentah terutama ayam dan daging di seluruh negeri dijangka mencukupi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Justeru, EXCO Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni meminta masyarakat supaya tidak bimbang untuk mendapatkan bekalan tersebut, lapor Sinar Harian.

“Jangan sesekali lakukan pembelian panik, beli seperti biasa,” katanya selepas meninjau Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 di Pasar Besar Meru, Klang semalam.

Beliau berkata tinjauan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mendapati kebanyakan peniaga mematuhi kadar harga ditetapkan.

Mohd Zawawi menjelaskan pemantauan secara berkala dibuat bagi memastikan harga barangan terkawal dan tidak membebankan pengguna terutama ketika musim perayaan.

“Harga maksimum diletakkan supaya ia tidak dijual dengan harga yang mahal sekali gus membebankan pengguna. Kalau peniaga dapat jual murah dari harga yang ditetapkan itu sudah bagus,” katanya.

Sebanyak 10 jenis barangan kawalan dikenal pasti bagi pelaksanaan SHMMP 2021 di Selangor antaranya ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.


Pengarang :