EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengedarkan beg guna semula kepada pengunjung bazar ramadan ketika Program Agihan Beg Guna Semula dan Seorang Sekampit Beras di Bazar Ramadan Lorong Haji Said, Jalan Kebun, Shah Alam pada 24 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Ganjaran istimewa bawa beg guna semula ketika membeli-belah

SHAH ALAM, 25 APRIL: Ganjaran istimewa bakal menanti individu yang membawa beg guna semula (Bagus) ketika membeli-belah di pasar, pasar raya atau kedai di negeri ini.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata insentif itu sebagai galakan kepada orang ramai untuk menyokong usaha mengurangkan penggunaan beg plastik.

“Kita dapati ada sebahagian masyarakat hanya simpan beg ini di rumah dan tidak digunakan.

“Jadi, kita akan sediakan hadiah dan kejutan kepada pengguna yang betul-betul bawa beg ini setiap kali berbelanja,” katanya pada program edaran beg guna semula (Bagus) dan kempen seorang sekampit beras di tapak pasar malam Kampung Jalan Kebun di sini semalam.

EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyampaikan bakul makanan kepada Ketua kampung serta asnaf, fakir dan miskin ketika Program Agihan Beg Guna Semula dan Seorang Sekampit Beras di Bazar Ramadan Lorong Haji Said, Jalan Kebun, Shah Alam pada 24 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada 4 April, program Bagus dilancarkan sebagai kempen kesedaran mengurangkan penggunaan plastik sekali gus menggalakkan orang ramai memelihara kelestarian alam sekitar.

Program tersebut menyasar 10,000 beg guna semula diagih ke seluruh Selangor.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata sebanyak 2,000 beg Bagus sudah diedarkan kepada orang ramai di Kuala Selangor dan Klang.

Menurutnya, baki 8,000 lagi dijangka selesai dalam tempoh sebulan dengan pengagihan dibuat melalui pihak berkuasa tempatan dan ketua komuniti.

“Kita akan edar secepat mungkin memandangkan pengguna sangat aktif berbelanja sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal,” katanya.


Pengarang :