Selangorkini
Aliran trafik lancar di kedua-dua arah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara kecuali kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ketika tinjauan pada 12 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Isu rentas negeri dibincang dalam mesyuarat khas MKN

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Cadangan membenarkan perjalanan rentas negeri kepada mereka yang telah melengkapkan dos kedua suntikan vaksin akan dibincang secara terperinci dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata setakat ini belum ada perbincangan menyeluruh untuk ‘kelebihan’ atau ‘insentif’ (kebenaran merentas dalam dan luar negeri) bagi mana-mana pihak yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka.

“Jadi saya rasa (mungkin) ramai orang yang akan mendaftar vaksin (sekiranya itu dijadikan syarat untuk merentas dalam dan luar negeri). Sekarang ini ramai yang (ambil pendekatan) tunggu dan lihat.

“Kalau boleh sebegitu (kebenaran rentas negeri selepas suntikan vaksin dos kedua), ramai yang akan mendaftar,” katanya selepas melancarkan Tarantula sebagai nama kereta perisai mobiliti tinggi 4X4 (HMAV4x4) pertama Malaysia di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Sungai Besi, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 mungkin dibenar untuk merentas negeri malah mereka juga mungkin boleh ke luar negara.

– BERNAMA


Pengarang :