AGENDANASIONAL

JPN lancar khidmat daftar, permohonan dalam talian

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini melancarkan perkhidmatan secara dalam talian JPN eSERVICES bagi menambah baik perkhidmatan seiring dengan kemajuan teknologi terkini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata melalui sistem ini, rakyat boleh memohon dokumen JPN seperti Pendaftaran Kelahiran, Cabutan Rekod Kelahiran, Kad Pengenalan 12 Tahun, Permohonan Cabutan Rekod Kad Pengenalan dan Permohonan Pendaftaran Perkahwinan secara dalam talian dan tidak perlu hadir ke pejabat JPN.

“Walaupun urusan-urusan itu dilaksanakan secara dalam talian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan keselamatan maklumat peribadi dan data-data sensitif anda berada di tahap yang tinggi.

“Saya menyeru kepada semua rakyat untuk memanfaatkan perkhidmatan ini kerana ia adalah inisiatif yang baik bagi mentransformasikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan menjadi lebih efisien dan mesra pengguna,” katanya ketika berucap melancarkan JPN eSERVICES disiarkan secara langsung di Facebook rasmi KDN hari ini.

Hamzah berkata sehingga Mac 2021, sebanyak 41,816 orang menggunakan perkhidmatan permohonan melalui sistem ini dan kerajaan bersedia untuk menambah baik sistem ini dari semasa ke semasa bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik.

Katanya, selain mendaftarkan peristiwa-peristiwa penting bagi setiap individu dalam negara seperti maklumat kelahiran, kematian, pengangkatan, perkahwinan dan perceraian, JPN dipertanggungjawab menentukan taraf kewarganegaraan dan mengeluarkan dokumen identiti dalam bentuk kad pengenalan kepada mereka yang layak mengikut lunas perundangan negara.

“Sehingga Mac lepas, lebih 30 juta data peribadi berada dalam simpanan JPN dan kerajaan juga bersetuju melaksanakan inisiatif Identiti Digital Nasional atau dikenali sebagai Digital ID dan KDN melalui JPN.

“Digital ID adalah suatu platform pengesahan dipercayai Verifiable Platform of Trust yang bakal dimanfaatkan oleh sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melaksanakan transaksi secara digital,” katanya.

Hamzah berkata inisiatif itu disasarkan kepada warganegara dan penduduk tetap Malaysia malah transaksi dalam talian menggunakan Digital ID adalah lebih selamat dan meyakinkan kerana ia berdasarkan biometrik lebih kompleks seperti 10 cap jari, facial recognition dan sistem iris.

“Oleh itu, saya menyeru JPN agar memperluas perkhidmatan secara dalam talian ini serta mengenal pasti perkhidmatan lain yang boleh dinaik taraf kepada perkhidmatan dalam talian secara ‘end-to-end’ (hujung ke hujung) melalui teknologi digital pada masa akan datang,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :