BERITA UTAMARENCANA

Lima lokasi santai buat si ulat buku

Ada banyak lokasi unik untuk pencinta buku di negeri ini, daripada perpustakaan konvensional hingga kafe hipster.

Lokasinya juga pelbagai, ada berdepan tasik, ada juga dalam pusat membeli-belah.

Sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia setiap 23 April, wartawan Nadiah Zamlus menyenaraikan lima lokasi menarik untuk ulat buku. Foto REMY ARIFIN

1. BookXcess Sunsuria Forum, Setia Alam

Kedai buku di Setia Alam popular dalam kalangan pengguna media sosial kerana sering dijadikan lokasi bergambar berikutan seni rekanya unik, mirip Perpustakaan Starfield di Korea Selatan.

Memuatkan lebih 500,000 naskhah buku pelbagai genre, kedai tersebut juga menyediakan ruangan membaca dan kafe kepada pengunjung.

Waktu operasi: Setiap hari dari jam 10 pagi – 10 malam

 

2. Perpustakaan Mini Kelab Kebun Rumah Pangsa AU2

Dibina pada 23 November tahun lalu, perpustakaan mini berkeluasan 644 kaki persegi dibina ahli kelab kebun rumah pangsa dengan kerjasama pelajar dan pensyarah Universiti UCSI.

Pada 11 April, perpustakaan itu dikunjungi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada kelab berkenaan.

Waktu operasi: Setiap hari dari jam 8 pagi – 6.30 petang

3. Pustaka Raja Tun Uda, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)

Tidak hanya memuatkan buku, perpustakaan enam tingkat ini juga dilengkapi gimnasium, bilik wayang tiga dimensi (3D) dan enam dimensi (6D), ruangan bacaan al-Quran dan juga bilik lukisan digital.

Pembinaannya hasil cetusan idea DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Baginda turut menyumbangkan 2,080 buku pada tahun lalu.

Waktu operasi: Isnin hingga Ahad (9 pagi – 6 petang)

4. Book Barter Cafe, Tamarind Square

Foto Facebook Book Barter Cafe

Kafe milik Arliza Jordana Abdul Majid terletak di Tamarind Square, Cyberjaya dikelilingi rimbunan menghijau.

Memiliki koleksi bahan bacaan terutama novel, beliau juga membenarkan pelanggan membawa pulang buku jika tidak habis dibaca di kafe tersebut.

Selain itu, pembaca juga boleh menghirup kopi dan menjamah kek yang disediakan di situ.

Waktu operasi: Isnin hingga Ahad (9 pagi – 6 petang)

5. The Lake Library Cafe MPSepang

Dibuka Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) pada Disember tahun lalu, premis tersebut menyimpan 2,167 naskhah buku selain dilengkapi kafe.

Terletak di Persiaran Semarak Api, Cyberjaya, pengunjung boleh membaca sambil menghirup minuman dan menikmati pemandangan tasik yang penuh hamparan bunga teratai. Bagi kanak-kanak, permainan LEGO disediakan kepada mereka.

Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat (8.30 pagi – 4.30 petang), Sabtu (8 pagi – 12.30 tengah hari)


Pengarang :