Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Dewan Jubli Perak, SUK, Shah Alam pada 7 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Penjawat awam perlu adaptasi ekosistem pendigitalan

SHAH ALAM, 7 APRIL: Kejayaan mewujudkan Negeri Pintar menjelang 2025 bergantung sejauh mana penjawat awam Selangor mengadaptasi ekosistem pendigitalan.

Dato’ Menteri Besar berkata amalan kerja konvensional seperti menyusun fail atas rak perlu diganti sistem integrasi pintar sekali gus merealisasikan kerajaan digital.

“Jika ke pejabat kerajaan, kita lihat banyak fail, dokumen tebal disusun. Justeru kita kena segera berganjak cara kerja baharu.

“Penjawat awam kena faham apa itu pendigitalan dan bagaimana prosesnya, selepas itu baru kita dapat menjayakannya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 kepada 126 penjawat awam Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz hari ini.

Sejumlah RM369 juta diperuntuk bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi dalam Belanjawan Selangor 2021.

Kerajaan Negeri turut menyalurkan peruntukan kepada Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) yang diberi mandat untuk menjayakan kerajaan pintar.

Fungsi SSDU merangkumi lima perkara utama iaitu Kerajaan Pintar, Infrastruktur Pintar, Ekonomi Pintar, Masyarakat Pintar dan Persekitaran Pintar.

Selain itu semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor turut melaksanakan permohonan dan pembaharuan permit perniagaan secara dalam talian atau e-Lesen secara berperingkat.


Pengarang :