AGENDANASIONAL

Polis tahan 25 gelandangan disyaki terlibat dadah

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Polis menahan 25 gelandangan termasuk seorang wanita berumur antara 20 dan 61 tahun yang disyaki terbabit dengan pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam pemeriksaan narkotik di flat kawasan Jalan San Peng di sini, pada kira-kira pukul 7 pagi, tiga hari lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata dua daripada suspek lelaki itu ditahan selama 60 hari di lokap Balai Dang Wangi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya 1985 kerana disyaki pengedar dadah.

Dalam satu kenyataan di sini semalam, beliau berkata polis turut merampas 13 paket plastik lutsinar disyaki mengandungi heroin seberat 23.9 gram, dan tiga paket plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja yang dianggarkan seberat lima gram.

Menurutnya, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Sementara itu, Mohamad Zainal berkata polis menahan dua wanita disyaki pelacur warga Thailand, seorang disyaki pelacur dari Uganda, dan seorang wanita Bangladesh yang menjadi ‘penjaga’ tempat pelacuran itu, dalam serbuan Ops Noda di sebuah hotel di Jalan Nagasari di sini, kira-kira pukul 5 petang kelmarin.

Katanya, kesemua suspek yang berumur antara 20 dan 50 tahun ditahan reman sehingga 17 April bagi membantu siasatan.

-BERNAMA

 


Pengarang :