K Kandasamy, 69, menunjukkan kad pendaftaran Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (Imunisel) di Dataran Puchong Permai, Puchong pada 4 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program daftar vaksin bantu individu tiada akses internet

SHAH ALAM, 5 APRIL: Program pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 secara besar-besaran akan digerakkan bagi membantu individu yang tiada akses telefon pintar dan internet.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha melalui Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel) susulan 37 peratus penduduk negeri ini tidak mempunyai kemudahan tersebut.

“Melalui program ini, kita membantu golongan ini untuk mendaftar pengambilan vaksin secara manual melalui kaunter-kaunter dan kad ImuniSel yang kita sediakan,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Beliau berkata rancangan terbabit melibatkan pemimpin tempatan antaranya pejabat DUN dan parlimen, ahli majlis, ketua kampung, ketua komuniti dan sukarelawan ImuniSel.

Amirudin menambah inisiatif itu dibentang dan dibincang bersama Menteri Penyelaras Khairy Jamaluddin baru-baru ini, sebahagian usaha Kerajaan Negeri membantu pendaftaran vaksin.

ImuniSel yang dilancarkan semalam menyasar warga emas dan Orang Asli yang tidak mahir menggunakan aplikasi di telefon pintar atau memiliki capaian internet terhad.

Setakat semalam, seramai 7.9 juta individu mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menerusi aplikasi MySejahtera. Selangor merekod jumlah tertinggi iaitu 2.15 juta individu.


Pengarang :