ADN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman menyerahkan bantuan sekolah di Sungai Plong, Paya Jaras Dalam dan Paya Jaras Hulu pada 28 Februari 2021. Foto Facebook Pejabat Wakil Rakyat DUN Paya Jaras
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Wakil rakyat Paya Jaras tangkas agih bantuan sekolah

SEMPENA pembukaan semula sekolah secara berperingkat mulai bulan lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras tangkas menghulur bantuan kepada golongan berpendapatan rendah.

Sejak sesi persekolahan 2020 dibuka semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan lagi, wakil rakyatnya Mohd Khairuddin Othman membantu 6,000 pelajar membabitkan peruntukan berjumlah RM600,000.

“Untuk tahun 2020 kita berikan kepada 3,000 penerima dahulu dan bakinya awal 2021. Program ini kita beri satu set kelengkapan persekolahan termasuk beg.

“Walau sesi persekolahan sepanjang 2020 singkat dan kelengkapan mungkin boleh digunakan semula tetapi ramai ibu bapa terjejas pendapatan akibat pandemik,” katanya kepada Selangorkini.

Tumpuan sumbangan terarah kepada ibu bapa yang dibuang, tidak bekerja dan ibu tunggal yang ada anak bersekolah.

Memiliki senarai terkini keluarga layak, beliau mengalu-alukan permohonan penduduk di DUN Paya Jaras berikutan pihaknya menyasar tambahan 1,500 penerima lagi.

Ketika pelaksanaan pembelajaran dalam talian, Mohd Khairuddin juga menyediakan peruntukan bantuan komputer riba diikuti agihan sejak sesi persekolahan kembali dibuka.

“Setakat ini, kita memberi fokus kepada program Kembali ke Sekolah. Alhamdullilah keadaan rakyat setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin pulih. Sebab itu, kita mula fokus program ekonomi,” katanya.

Mudah runding

Mula berkhidmat di Paya Jaras sejak 2013, beliau mengakui isu tanah, banjir kilat, kemudahan dan peniaga sentiasa menjadi topik perhatian.

Justeru, Mohd Khairuddin sentiasa menyelesaikan masalah menerusi rundingan setiap kali berdepan masalah membabitkan penduduk setempat.

“Fokus sekarang selesaikan masalah banjir Sungai Kedondong dan Sungai Subang. Semua yang kita pindahkan diberi Rumah Selangorku.

“Kita tidak keluarkan begitu sahaja. Antara dua mudarat, kalau roboh (rumah) mudarat kepada penduduk, kalau tidak buat (perobohan) akan mudarat kepada orang kampung.

“Saya berpihak kepada majoriti. Kalau majoriti penduduk terkesan, kita teruskan perobohan. Tindakan itu tidak popular tetapi kita terpaksa,” katanya.

Beliau juga menjelaskan banjir kilat yang berlarutan lebih 30 tahun diselesaikan secara berperingkat dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Arkib niaga

Beliau menyimpan impian untuk membina arkib perniagaan Melayu bagi membantu penduduk meneruskan perniagaan dengan lebih teratur di samping menjadi tumpuan orang ramai.

Malah, beliau berharap pihak berkuasa tempatan mempermudah urusan kelulusan lesen dan memberi galakan kepada peniaga ketika tempoh pascawabak.

“Kita harus ingat pandemik Covid-19 memberikan kesan mendalam kepada semua terutama peniaga yang tidak dapat beroperasi sepanjang PKP pertama Mac tahun lalu,” katanya lagi.

Mohd Khairuddin mengekalkan kemenangan bagi penggal kedua pada 2018 selepas menewaskan calon Barisan Nasio-nal Datuk Zein Isma dan Hanafi Zulkapli dari PAS dengan majoriti 12,072 undi.


Pengarang :