AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yayasan Selangor taja 350 pelajar susah, sedia manfaat khas

SHAH ALAM, 7 APRIL: Seramai 350 pelajar tingkatan satu di negeri ini layak ditempatkan ke sekolah tajaan Yayasan Selangor bagi sesi pembelajaran 2021.

Program melalui Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)-Yayasan Selangor menerima 1,314 permohonan sejak dibuka pada 1 Disember lalu.

Agensi pendidikan itu berkata program berkenaan menyasar pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana serta mematuhi syarat akademik KPM.

“Daripada 350 pelajar yang ditawarkan, seramai 91 orang ditempatkan di asrama pusat, asrama daerah (251) dan baki di sekolah harian (tanpa asrama),” kata yayasan berkenaan dalam kenyataan.

Yayasan Selangor menambah pelajar akan mendapat keistimewaan seperti biasiswa, kelas bimbingan, program kecemerlangan akademik dan pembangunan kendiri.

“Seorang guru penyelaras turut dilantik bagi memantau pencapaian pelajar di setiap sekolah tajaannya,” kata agensi itu lagi.

Sesi pendaftaran pelajar di dua asrama pusat di Klang dan Sabak Bernam dijalankan pada 2 dan 4 April lalu.


Pengarang :