Rodziah Ismail menyampaikan bantuan makanan kepada pemandu teksi di Dataran BBST Walk di Sepang pada 7 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGOKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Galak pemandu teksi, bas daftar program bantuan makanan

SEPANG, 7 APRIL: Kerajaan Selangor menggalakkan lebih ramai pemandu teksi dan bas sekolah negeri ini menyertai program bantuan makanan bagi meringankan beban.

EXCO kesejahteraan bandar berkata seramai 7,919 individu berdaftar setakat ini untuk mendapat sumbangan secara berfasa membabitkan dana RM1 juta.

“Peruntukan ini sebenarnya untuk 10,000 individu, namun kita hanya terima maklumat 7,919 orang sahaja. Jadi kita harap mereka mendaftar kepada pihak berkuasa tempatan,” kata Rodziah Ismail.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan kepada pemandu teksi dan bas sekolah peringkat Majis Perbandaran Sepang di Dataran BBST Walk di sini hari ini.

Sumbangan secara pandu lalu turut diserahkan kepada 33 individu sebagai simbolik. Keseluruhannya, seramai 131 orang di daerah berkenaan menerima manfaat.

Menerusi Pakej Kita Selangor yang diumum 20 Januari, sebanyak RM4.35 juta disediakan bagi menjayakan program Bakul Makanan untuk membantu golongan terjejas akibat wabak Covid-19.

Bantuan itu meliputi pemandu teksi dan bas, petugas barisan hadapan, penyewa PPR, warga tani dan pemandu lori KDEB Waste Management.

Fasa pertama agihan meliputi individu sekitar Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Selain itu, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Daerah Sabak Bernam dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Fasa kedua membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Daerah Hulu Selangor.


Pengarang :