Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, Batu Caves pada 19 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

40 peratus kes positif Covid-19 babit individu 18 hingga 40 tahun

GOMBAK, 19 MEI: Sebanyak 40 peratus daripada 500 kes positif Covid-19 dikesan menerusi lapan Saringan Komuniti membabitkan individu berusia 18 hingga 40 tahun.

Pegawai pemasaran dan komunikasi korporat Selgate Corporation Sdn Bhd berkata golongan terbabit dipercayai mudah dijangkiti virus berbahaya itu berikutan sering melakukan kerja luar.

“Sejak program dimulakan awal bulan ini, petugas kesihatan Klinik Selcare berjaya mengambil 15,000 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) untuk diuji dan kumpulan tersebut mungkin lebih terdedah kepada persekitaran di lapangan dan sebagainya,” kata Norafida Zamri.

Beliau ditemui pada program Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Seri Siantan Sungai Tua di sini hari ini.

Menurutnya, orang ramai diharap memanfaatkan inisiatif tersebut supaya lebih banyak kes mampu dikesan sekali gus mengurangkan risiko penularan wabak yang lebih serius.

Sementara itu, Norafida memaklumkan saringan diteruskan di Dewan Seroja Kampung Bendahara, Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer dan Dewan Serbaguna Batu 17, DUN Rawang esok mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.

Katanya, pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :