Dato’ Seri Amirudin Shari, bercakap kepada media ketika melawat tapak program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, Batu Caves pada 19 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Tidak tolak PKP, Selangor cadang pertimbang aspek menyeluruh

SHAH ALAM, 19 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dalam bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Dato’ Menteri Besar.

Tidak menolak arahan sedemikian, Dato’ Seri Amirudin Shari meminta pertimbangan menyeluruh kepada aspek lain termasuk kesihatan mental dan kehilangan pendapatan.

Beliau menegaskan nyawa rakyat sentiasa menjadi keutamaan berbanding penjanaan ekonomi tetapi PKP harus diiringi pelbagai aspek lain termasuk pendidikan dan kesihatan mental.

“Jika ditawar dua pilihan, menjaga nyawa rakyat adalah keutamaan kita. Namun, Kerajaan Negeri menerima PKP sepenuhnya dengan harapan ia dibuat menyeluruh.

“Sebagai contoh, bantuan kepada golongan berpendapatan rendah, tatacara operasi piawai (SOP) yang jelas dan melaksanakan saringan besar-besaran,” katanya dalam sidang media hari ini.

Amirudin juga menggesa perintah kawalan itu diiringi inisiatif kepada rakyat termasuk moratorium automatik kepada golongan terjejas serta amalan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang cekap.

“Ini amat penting bagi menjamin kelangsungan kehidupan rakyat sepanjang tempoh pelaksanaan PKP,” katanya.


Pengarang :