Anggota polis dan tentera membuat sekatan di laluan masuk ke Taman Pertama berikutan perlaksanaan PKPD di tiga taman perumahan di Sabak Bernam pada 30 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Sabak Bernam rekod 30 kes sahaja tetapi 3,900 individu dalam PKPD

SABAK BERNAM, 31 MEI: Sabak Bernam mencatatkan jangkitan baharu Covid-19 terendah di Selangor semalam iaitu 30 kes.

Namun seramai 3,900 penduduk Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima di daerah itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 30 Mei.

Pegawai Daerah Sabak Bernam Amri Ismail berkata PKPD melibatkan 876 rumah dihuni kakitangan hospital, pejabat tanah dan institusi pendidikan.

“Sehingga kelmarin, sebanyak 135 kes positif dikesan hasil saringan 2,538 individu selain satu kematian melibatkan warga emas berusia 74 tahun yang mengalami komplikasi darah tinggi dan kencing manis,” katanya pada sidang media semalam.

Terdahulu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melaporkan terdapat 30 kes baharu di daerah itu semalam berbanding 20 kes pada Sabtu.

Tiga daerah turut mencatatkan bawah 100 kes adalah Hulu Selangor (91), Kuala Selangor (77) dan Sepang (62). Petaling pula tertinggi (902 ) diikuti Gombak (416), Hulu Langat (409), Klang (315) dan Kuala Langat (175).

Secara keseluruhan, Selangor mencatatkan 2,477 kes baharu melibatkan 2,424 jangkitan dalam komuniti, penjara (52) dan kes import (satu).


Pengarang :