Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jenaka rogol bukti kegagalan sistem pendidikan negara

SHAH ALAM, 2 MEI: Isu jenaka berbaur lucah seorang guru lelaki di hadapan pelajar semasa sesi pembelajaran di sebuah sekolah di Selangor membuktikan kelemahan sistem pendidikan negara.

Setiausaha politik Dato’ Menteri Besar berkata Kementerian Pendidikan perlu memandang serius isu terbabit dan bertindak sewajarnya terhadap guru berkenaan yang menyampaikan mesej salah kepada pelajar secara terbuka.

“Keadaan ini menggambarkan sistem pendidikan kita gagal mengawal pendidik sepatutnya memberi pengajaran yang benar. Ia membahayakan pemikiran anak-anak kerana mereka akan keluar sebagai seorang dewasa.

“Justeru, tindakan segera harus diambil, saya dimaklumkan guru tersebut masih berkhidmat selain dalam siasatan polis atas dakwaan tersebut,” kata Juwairiya Zulkifli kepada SelangorKini.

Jumaat lalu, beliau bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menziarahi pelajar perempuan berusia 17 tahun yang membuat pendedahan berhubung perkara berkenaan sehingga mengundang perdebatan warga maya.

Dalam lawatan di kediaman Ain Husniza Saiful Nizam di Puncak Alam, mereka turut menghadiahkan tiga naskhah buku daripada Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Sementara itu, Juwairiya mengakui kagum dengan semangat dan keyakinan pelajar terbabit dalam menyuarakan isu berkenaan meskipun terpaksa berdepan kritikan ramai.

“Keberanian beliau mengingatkan saya kepada pejuang pendidikan bagi anak-anak gadis di Pakistan yang masih muda iaitu Malala Yousafzai. Di sini kita ada figura Ain Husniza yang ingin membuka mata dan mengubah pemikiran orang ramai,” katanya.

Pada 24 April lalu, Ain menerusi video di aplikasi TikTok berkata seorang guru lelaki membuat jenaka lucah semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan seolah-olah menggalakkan jenayah rogol selain memaklum pelajar lelaki patut menyasarkan orang berusia 18 tahun sekiranya mahu berbuat demikian.

Antara kritikan paling banyak diterima adalah dia terlalu emosi dan seharusnya menyelesaikannya secara dalaman dengan pihak sekolah namun rata-rata mengecam tindakan keterlaluan guru berkenaan.


Pengarang :