AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan disaran tubuh badan bebas siasat kes tahanan maut dalam lokap

SHAH ALAM, 24 MEI: Kerajaan digesa menubuhkan badan bebas bagi menyiasat dakwaan salah laku polis susulan kejadian tahanan maut ketika di dalam lokap.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr G Gunarajah berkata perkara itu berikutan kurang sebulan kejadian yang sama berlaku terhadap tahanan di daerah yang sama iaitu Gombak.

Beliau berkata terdapat beberapa pencanggahan fakta membabitkan kematian mendiang S Sivabalan dan siasatan perlu dilakukan demi keadilan kepada keluarga mangsa serta menjaga imej dan nama baik polis.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menyegerakan siasatan. Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera penting bagi menyiasat tuduhan terhadap polis dan menyelamatkan nyawa tahanan lain,” katanya dalam kenyataan.

Pada 20 Mei, S Sivabalan yang juga pengawal keselamatan dilaporkan maut pada jam 12.25 tengah hari selepas kurang sejam ditahan polis bagi siasatan kes pemerasan.

Sebelum itu pada April lalu, seorang pejual susu lembu, A Ganapathy turut meninggal dunia ketika dalam tahanan selepas lebih sebulan menerima rawatan di Hospital Selayang.


Pengarang :