Petugas Kesihatan Selcare memujuk seorang kanak-kanak melakukan saringan Covid-19 ketika Saringan Komuniti di Dewan Resak, Subang Perdana Shah Alam pada 6 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 6,000 bayi bawah 18 bulan dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 25 MEI: Seramai 6,290 bayi bawah 18 bulan dijangkiti Covid-19 dan ia wajar menjadi isyarat amaran kepada ibu bapa, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ancaman wabak bukan sahaja terhadap golongan berisiko malah turut menular kepada kanak-kanak serta bayi.

“Data KKM menunjukkan sehingga hari ini, seramai 48,261 orang kanak-kanak dan bayi dijangkiti Covid-19, yang mana 6,290 merupakan bayi berumur 18 bulan dan ke bawah.

“Perkembangan terbaru ini amat membimbangkan dan seharusnya menjadi isyarat amaran kepada semua pihak terutama ibu bapa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata selain patuh kepada tatacara operasi piawai (SOP), sekatan pergerakan kendiri perlu dilakukan bagi mengelak diri, anak-anak dan keluarga tersayang daripada dijangkiti Covid-19.

“Ibu bapa perlulah mengawasi anak-anak seperti mengelakkan mereka bermain di luar rumah, memakai pelitup muka serta kerap menggunakan cecair pembasmi kuman,” katanya.


Pengarang :