Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Pelaburan dalam talian: 14 individu kumpulan ‘Chao Jin Dang’ ditahan

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Polis menahan 14 individu yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian didalangi kumpulan ‘Chao Jin Dang’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata kesemua mereka yang terdiri daripada 10 lelaki warga tempatan serta masing-masing dua lelaki dan wanita warga China berumur lingkungan 19 hingga 27 tahun, ditahan di sekitar Lembah Klang pada Rabu lepas.

Sindiket itu dipercayai beroperasi sejak awal Februari lalu dan menyasarkan mangsa dari China, katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya sindiket itu memaparkan iklan melalui Facebook untuk mencari pekerja dengan menawarkan gaji RM2,500 hingga RM3,000 dan menyediakan beberapa kondominium di ibu negara sebagai penginapan.

Modus operandi sindiket ialah memberikan akses kepada mangsa untuk melabur dalam laman sesawang yang disediakan dengan tawaran keuntungan yang tinggi namun keuntungan itu tidak pernah dibayar, katanya.

Zainuddin berkata kesemua suspek tempatan direman sehari manakala suspek warga asing direman di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Kes disiasat menurut Seksyen 420 dan Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan, Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen.

Beliau turut menasihati masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan serta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi sebelum melabur.

– BERNAMA


Pengarang :