Petugas kesihatan membuat ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Orang Ramai Titiwangsa, Hulu Langat pada 10 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan kesan 66 kes Covid-19, hampir semua tanpa gejala

SHAH ALAM, 11 MEI: Hampir keseluruhan daripada 66 kes positif Covid-19 dikesan semalam melibatkan pesakit tanpa gejala, kata pengurus Klinik Selcare.

Mohd Noor Md Nasir berkata keputusan melalui program saringan komuniti melibatkan 733 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dengan 13 daripadanya positif manakala 53 daripada 1,267 penduduk DUN Teratai pula dikesan dengan kes sama.

“Kita bimbang kes tanpa gejala menyebabkan perebakan virus cepat berlaku, justeru masyarakat digesa manfaatkan program saringan anjuran Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Selangor melaksanakan program Saringan Komuniti Covid-19 percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program dimulakan di DUN Kajang dan Semenyih pada 8 Mei, Sungai Ramal dan Balakong (9 Mei) manakala Teratai dan Dusun Tua semalam. Ia diteruskan di Lembah Jaya dan Pandan Indah hari ini.

Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi melaksanakan program saringan percuma untuk membendung penularan wabak.


Pengarang :