Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama pasukan keselamatan negara di bawah Pasukan Petugas Khas (NTF) membuat tinjauan di sempadan Malaysia – Thailand di Martak Bukit Kayu Hitam PGA Briged Utara hingga ke Kem PGA Perlis bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta kemasukan pendatang tanpa asing terutama melalui lorong-lorong tikus. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Thailand tingkat kawalan sempadan menjelang hari raya

NARATHIWAT, 11 MEI: Thailand mempertingkatkan kawalan di sempadannya dengan Malaysia untuk mencegah kemasukan warga Thai yang cuba menyelinap masuk ke negara asal mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri, dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Komander Divisyen ke-15 Infantri Mej. Jen Paisal Noosang berkata pasukan keselamatan akan mempergiatkan rondaan di laluan-laluan tikus dan lokasi panas bagi menyekat warga Thai yang cuba menyeberangi sempadan secara tidak sah.

“Warga Thai yang bekerja di Malaysia dijangka pulang untuk menyambut Hari Raya dengan menggunakan laluan tikus untuk memasuki Thailand.

“Pasukan keselamatan akan memperketatkan rondaan di sempadan Thailand-Malaysia untuk mengekang kemasukan warga Thai dan asing secara haram serta mengelakkan diri daripada kuarantin mandatori,” katanya.

Dalam usaha membendung penularan gelombang ketiga Covid-19, Thailand mewajibkan semua yang memasuki negara ini menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

Lebih 100,000 warga Thai yang berada di Malaysia dilaporkan telah pulang ke Thailand sejak penularan pandemik Covid-19 dan kira-kira 40,000 hingga 50,000 lagi warga Thai masih berada Malaysia.

Media tempatan melaporkan bahawa pihak berkuasa tempatan menahan hampir 16,000 individu cuba menyelinap masuk Thailand dari Malaysia, Kemboja, Laos dan Myanmar dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pada Ahad, polis menahan 10 warga Myanmar yang dipercayai merupakan pekerja asing tanpa izin yang menaiki dua buah teksi cuba menyelinap masuk Thailand.

-BERNAMA


Pengarang :