Penghantar barangan dalam talian aplikasi “Seldec Rider” mengangkat beg barangan mereka selepas selesai sesi sidang media Pelancaran Web Portal SELDEC (Selangor Digital e-Supply Chain) & Sistem Aplikasi “Seldec Rider” di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 24 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANA

Beli barang dapur hanya di hujung jari

Pembelian pelbagai produk seharian termasuk barangan dapur tidak lagi sukar sekalipun Perintah Kawalan Pergerakan penuh dilaksanakan mulai 1 Jun.

Melalui wadah e-dagang termasuk milik Kerajaan Negeri, orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan harian hanya di hujung jari.

Amalan itu sekali gus menghindar risiko jangkitan Covid-19 selain menjimatkan masa dan tenaga. Malah, sebahagian produk lebih murah berikutan promosi bagi menggalakkan pengguna membudayakan nirtunai (cashless).

Seldec.com.my

Dilancar Kerajaan Negeri pada 3 Oktober 2019, pelanggan boleh membeli pelbagai barang keperluan antaranya daging segar, peralatan rumah, makanan diproses, makanan sejuk beku termasuk kuih-muih.

Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) juga memasar hasil tani produk usahawan kecil secara meluas.

Seldec turut menawarkan barangan yang sukar peroleh dalam pasaran antaranya ikan patin, tempoyak, sambal hitam Pahang dan rempah gulai nasi dagang.

Pelbagai promosi seperti penghantaran percuma dan potongan harga juga dibuat secara berkala. Layari Facebook Seldec untuk maklumat lanjut.

AgroShop.my

Laman web ini usahasama antara Persatuan Agroprenuer Selangor (AgroSel) dan AgroShop Sdn Bhd, sebuah syarikat swasta.

Mula beroperasi pada April, sebanyak 1,000 produk disasar dijual menerusi platform berkenaan hingga hujung tahun.

Bertema ’Segar dari ladang terus ke rumah anda’, ahli-ahli AgroSel boleh menjual hasil pertanian dan barangan secara percuma.

Turut dijual barangan kesihatan, buah kering, makanan laut dan pelbagai jenis serunding.

Sempena jualan tanggal 6.6, potongan harga enam peratus diadakan sepanjang Jun.

Eshop.tesco.com.my

Platform ini menawarkan pelanggan pilihan alternatif untuk membeli barangan runcit melalui rangkaian produk termasuk bahan segar, sejuk beku dan barangan am.

Pembeli boleh berbelanja dengan hanya beberapa klik dan menerima produk berdasarkan slot masa atau lokasi pilihan.

Harga penghantaran biasanya serendah RM7 dan dihantar antara jam 8 pagi hingga ke petang.

Lingkungan penghantarannya luas kerana cawangannya ada sekitar Lembah Klang. Kos pula agak rendah.

Happyfresh.com

Menawarkan lebih 20 pasar raya yang boleh dikunjungi secara maya antaranya Village Grocer, Aeon, Tesco, Cold Storage, Isetan, Giant dan Mercato.

Selain barangan dapur, ia turut menyediakan pelbagai produk kecantikan atau kesihatan.

Portal itu diwujudkan bagi memudahkan orang ramai membeli-belah sambil menjimatkan masa.

Selain laman web, pengguna boleh membuat belian melalui aplikasi HappyFresh-Grocery Delivery dengan memuat turun di App Store atau Play Store.

Untuk pelanggan baru, anda boleh mendapatkan penghantaran percuma menggunakan kod promosi.

Grab

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, Grab Malaysia membuat promosi Minggu Peniaga Kecil yang bertujuan mengetengah perniagaan kecil-kecilan melalui GrabFood.

Pengguna juga boleh mendapatkan penghantaran percuma antara 25 Mei hingga 7 Jun.

Selain makanan dan minuman, turut ditawarkan ialah barangan, farmasi, barangan bayi, barangan runcit dan perkakasan rumah.

 


Pengarang :