Petugas kesihatan menguruskan jenazah yang meninggal akibat wabak Covid-19 ketika tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada 9 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kanak-kanak lapan tahun antara 84 korban Covid-19

SHAH ALAM, 24 JUN: Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun antara 84 kematian dicatat hari ini akibat Covid-19.

Ketua pengarah kesihatan berkata kanak-kanak warga tempatan itu menghidap penyakit asma dan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan remaja berusia 16 tahun yang merupakan pesakit sindrom Melas iaitu penyakit berkaitan otot dan sistem saraf turut maut di Hospital Sungai Buloh akibat wabak sama.

Menurutnya, jumlah kematian hari ini juga membabitkan 12 golongan muda berusia antara 24 hingga 40 tahun termasuk seorang warga asing.

Lapan darinya mempunyai latar belakang penyakit kronik antaranya obesiti, darah tinggi, epilepsi dan tiroid manakala empat lagi tidak merekodkan sebarang penyakit.

Hari ini Selangor mencatatkan kes kematian tertinggi dengan 32 kes diikuti masing-masing 10 di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, Kelantan (lapan), Johor (tujuh) dan Kedah (enam).

Manakala Labuan, Melaka, Pahang dan Perak pula masing-masing tiga serta Sabah dan Terengganu (masing-masing satu).


Pengarang :