Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berucap ketika majlis perasmian Pusat Kitar Semula KDEBWM di Bukit Puchong, Puchong pada 29 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KDEBWM: Letak kenderaan di lokasi sesuai, mudahkan kutipan sampah

SHAH ALAM, 5 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) meminta penduduk negeri ini meletak kenderaan di kawasan betul dan teratur bagi memudahkan kutipan sampah domestik dan pukal di kawasan kediaman.

Pengarah urusannya berkata pertambahan kenderaan di persekitaran rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ada kalanya menghalang laluan lori kompaktor dan lori armrol untuk melakukan kerja berkaitan.

“Selama empat hari selepas kerajaan menguatkuasakan PKP, kita dapati jumlah kenderaan meningkat dengan ketara memandangkan kebanyakan pekerja bertugas dari rumah.

“Justeru, kita harap semua bekerjasama supaya pemandu lori KDEBWM dapat masuk khususnya ke kawasan sempit seperti flat, pangsapuri dan perumahan berstrata,” kata Ramli Mohd Tahir ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau menjangka penjanaan sisa harian dari kawasan perumahan di negeri ini meningkat berbanding premis perniagaan sepanjang tempoh dua minggu ini.

“Memandangkan orang ramai tidak dibenarkan makan di kedai, jadi kesempatan berada di rumah dimanfaatkan untuk memasak dan menempah makanan secara dalam talian sekali gus menghasilkan sisa yang banyak terutama pada hujung minggu.

“Untuk itu, kita menggesa masyarakat urus sisa dengan baik dan meletakkan ke dalam tong sampah di luar rumah pada awal pagi. InsyaAllah, kita cuba laksana tugas sebaiknya,” katanya.


Pengarang :