Pengusaha Goldcut Barbershop di Balakong, Harriz Ahmad, 29 mengenakan apron dan pelindung muka ketika menggunting rambut pelanggan dalam tinjauan pada 11 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kedai gunting rambut, kedai buku dibenar operasi pada fasa dua pelan pemulihan

SHAH ALAM, 27 JUN: Kedai gunting rambut, kedai buku dan alat tulis antara sektor dibenarkan beroperasi sebaik Pelan Pemulihan Negara  (PPN) beralih pada fasa kedua.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran operasi kedua-dua sektor berkenaan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

Sektor lain yang boleh beroperasi dalam tempoh sama ialah:

1. Sektor pembuatan seperti automotif (kenderaan dan komponen), seramik, kilang perabot bagi tujuan eksport, getah, besi dan keluli serta simen

2. Sektor perdagangan dan pengedaran seperti komputer dan telekomunikasi, barangan elektrik serta kedai cuci kereta

Kedai makan, gerai makan, kendera saji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi atau kiosk dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam.

Menurut beliau, pasar tani dan pasar pagi boleh beroperasi dari 7 pagi hingga 11 malam bagaimanapun pasar minggu, pasar malam serta pasar tamu masih tidak dibenarkan.

“Pasar tani dan pasar pagi terhad kepada enam komoditi iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut serta daging,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu tidak bersentuhan fizikal dibenarkan.

Beliau juga memaklumkan, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan dalam fasa terbabit kecuali bagi guru sekolah dan pelajar kelas peperiksaan.

“Pergerakan rentas negeri pasangan jarak jauh dibenarkan bagi kes kecemasan dan khas sahaja dengan kelulusan polis,” katanya.


Pengarang :