Pesakit Covid-19 melakukan pendaftaran sejurus tiba di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu Covid-19 (PKRC) di MAEPS Serdang pada 29 Mei 2021. Foto BERNAMA
SELANGOR

Kluster tempat kerja di Sepang catat kes Covid-19 tertinggi

SHAH ALAM, 14 JUN: Kluster di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang antara lima kluster aktif tempat kerja yang mencatatkan kes Covid-19 tertinggi, menurut ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan memaklumkan kluster Jalan Tiga Salak Tinggi melibatkan pekerja kilang dengan 873 kes dikesan positif hasil saringan 1,500 individu.

Manakala kluster Industri Senawang dikesan di Senawang Industrial Estate, Seremban yang menyebabkan 752 jangkitan sekitar Negeri Sembilan dan Melaka.

Kluster Industri Batu Berendam di Melaka pula merekodkan 641 kes positif diikuti kluster Jalan Padang Tembak melibatkan Terengganu dan Kelantan (598) dan kluster Tok Has di Terengganu (541).

Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini sebanyak 1,328 kluster tempat kerja dilaporkan dengan 624,246 individu disaring dan 147,040 disahkan positif.

“Kebanyakan kes dari kategori kluster ini melibatkan 68 peratus warga asing iaitu 100,086 kes manakala warga tempatan seramai 46,954 jangkitan,” katanya.

Beliau menambah walaupun kes dalam tempoh dua minggu ini menunjukkan penurunan, namun kluster tempat kerja terus bertambah.


Pengarang :