Jururawat melakukan persiapan bagi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang awam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam pada 7 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 300,000 individu divaksin sehari mulai Ogos

ISKANDAR PUTERI, 8 JUN: Kerajaan menyasarkan lebih 200,000 orang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 sehari bermula Julai ini, dan kemudian ditingkatkan kepada lebih 300,000 orang sehari mulai Ogos.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata antara langkah yang dilakukan bagi mencapai angka itu termasuk membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara.

“Ini adalah antara faktor yang menyebabkan saya melawat ke beberapa negeri termasuk Johor untuk memastikan keperluan membuka lebih banyak PPV berskala besar sekali gus dapat mempertingkatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyat.

“Jika kita boleh lakukannya, saya yakin kita boleh capai sasaran kita untuk memvaksin 80 peratus daripada penduduk menjelang Oktober,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad di Bangunan Dato’ Jaafar di sini hari ini.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata seiring dengan penambahan PPV berskala besar, kerajaan turut berusaha menambah tenaga kerja yang mencukupi dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak swasta dan mendapatkan bantuan daripada doktor pelatih, pesara doktor, pesara jururawat dan pelajar perubatan.

“Malaysia sudah memuktamadkan jadual penghantaran 25 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech yang akan dihantar pada suku ketiga tahun ini iaitu bermula Julai diikuti Ogos dan September. Kita kini lebih jelas mengenai jadual penghantaran vaksin SinoVac dan sedang berusaha mengemas kini jadual penghantaran vaksin AstraZeneca kerana terdapat perubahan di sana,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :