Anggota polis dan tentera membuat sekatan di laluan masuk ke Taman Pertama berikutan perlaksanaan PKPD di tiga taman perumahan di Sabak Bernam pada 30 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Lebih 5,000 penduduk PKPD Sabak Bernam jalani saringan Covid-19

SABAK BERNAM, 12 JUN: Seramai 5,235 penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sabak Bernam telah menjalani ujian saringan Covid-19.

Pegawai Kesihatan Daerah Sabak Bernam, Dr A L Liza Abd Latip berkata daripada jumlah itu didapati 164 individu disahkan positif jangkitan wabak.

“Mereka yang dijangkiti ini membabitkan pelbagai kategori usia daripada kanak-kanak sehingga dewasa. Tiga kes kematian melibatkan golongan warga emas lingkungan usia 66 tahun ke atas yang mempunyai sejarah penyakit kronik,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang media penamatan PKPD Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima di Pusat Kawalan Operasi Bencana Sabak Bernam di sini hari ini.

Terdahulu, PKPD dilaksana selama 14 hari sejak 30 Mei ekoran peningkatan ketara kes di lokaliti itu dalam tempoh singkat iaitu 113 daripada 1,237 saringan dikesan positif.

 


Pengarang :