Ahli Dewan Negeri Banting Lau Weng San menyerahkan komputer riba kepada anak-anak keluarga berpendapatan rendah (B40). Foto Facebook Lau Weng San
ADNSELANGOR

Penduduk Banting digalak sumbang komputer riba bantu pelajar B40

SHAH ALAM, 29 JUN: Orang ramai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting dialu-alukan menyumbang komputer riba dan tablet terpakai menerusi kempen ‘Satu Laptop Satu Harapan’.

Wakil rakyatnya berkata usaha itu bertujuan membantu pelajar yang tiada peranti tersebut namun terpaksa melalui pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Disebabkan pandemik Covid-19, belajar secara dalam talian kini telah menjadi norma baharu dan ini menyukarkan keluarga berpendapatan rendah (B40) yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat Orang Asli.

“Justeru, kita harap ada masyarakat yang sudi menyumbang komputer riba dan tablet terpakai yang masih berfungsi bagi membantu keluarga ini dan pada masa sama memudahkan anak-anak menghadapi PdPR,” kata Lau Weng San ketika dihubungi.

Beliau berkata sehingga kini sebanyak 12 keluarga B40 telah menerima manfaat menerusi kempen berkenaan.

Orang awam yang ingin menderma peranti tersebut atau mereka yang memerlukan boleh menghubungi Weng San di talian 016-322 1563 atau hadir ke Pusat Khidmat DUN Banting.


Pengarang :