SELANGOR

Polis buru lima lelaki disyaki lakukan samun bersenjata di Klang

SHAH ALAM, 15 JUN: Polis sedang memburu lima lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah pejabat di Klang, tiga hari lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata dalam kejadian 3 pagi 12 Jun itu, lapan lelaki meluru masuk ke pejabat tersebut dan terus memukul seorang pembantu kedai menggunakan senjata seperti batang besi, rantai besi dan kerusi.

“Suspek turut mengambil dua rantai emas milik mangsa serta kad mesin juruwang automatik (ATM) dan membuat transaksi memindahkan sejumlah wang daripada akaun mangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Shamsul Amar berkata pada 10.50 malam hari yang sama, pihaknya telah memberkas tiga lelaki di sekitar kawasan Klang yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

“Dua daripada suspek masing-masing didapati mempunyai enam rekod jenayah lampau,” katanya sambil menambah kesemua suspek direman lima hari dari 13 hingga 17 Jun ini.

Menurut beliau polis turut merampas satu batang besi vakum, satu penyahkod kamera litar tertutup dan sebuah telefon bimbit daripada kesemua suspek.

– BERNAMA


Pengarang :