Program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang, Kuala Selangor. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan fasa kedua dijangka diteruskan, tumpu kawasan jangkitan tinggi

KUALA SELANGOR, 5 JUN: Program Saringan Komuniti fasa kedua dijangka dilaksanakan dengan menumpukan kawasan mencatat kadar jangkitan Covid-19 lebih lima peratus.

Pengurus Klinik Selcare berkata perkara itu akan diputuskan selepas pihaknya bersama Operasi Pasukan Khas Selangor (STFO) membentangkan hasil dapatan program di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengurus Klinik Selcare, Mohd Noor Md Nasir bercakap kepada media ketika program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang, Kuala Selangor. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Secara dasarnya, kami dan STFO memang merancang untuk masuk ke kawasan berkaitan tetapi perlu menunggu arahan lanjut Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan ini.

“Kita mahu lihat kesan selepas program saringan ini selesai kerana individu positif Covid-19 dan boleh merebakkan virus sudah diasingkan. Justeru, angka kes sepatutnya menurun jika dibuat sekali lagi,” kata Mohd Noor Md Nasir.

Beliau berkata demikian pada program Saringan Komuniti percuma di Dewan Orang Ramai Sungai Gulang-Gulang di sini hari ini.

Setakat ini, lapan DUN merekodkan kes disyaki positif melebihi paras lima peratus iaitu Kajang (8.08), Hulu Kelang (8.06), Bukit Antarabangsa (7.58) dan Sungai Tua (5.63).

DUN lain termasuk Gombak Setia dengan 8.24 peratus diikuti Taman Templer (7.99), Seri Setia (6.99) dan Taman Medan (5.29).

Sementara itu, Mohd Noor berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menyaring individu dari rumah ke rumah seperti ketika awal perebakan wabak pada tahun lepas.

“Ia belum putuskan lagi, namun kita bersedia dan tiada kekangan kerana perkara itu turut dicadang sendiri oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari,” katanya lagi.


Pengarang :