Selangorkini
Penghantar barangan Seldec menunjukkan isyarat bagus ketika menunggu giliran mendapatkan inisiatif RiDE oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Selangor ke depan bantu anak muda ketika krisis

SHAH ALAM, 5 JUN: Kerajaan Selangor wajar dijadikan contoh dalam membantu anak muda berdepan pelbagai kegawatan khususnya sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara sejak setahun lalu.

Perwakilan Angkatan Muda KEADILAN Selangor Mohd Khairool Ngadon berkata isu ekonomi melibatkan mereka bukan perkara baharu bahkan mereka paling ramai dalam kategori berpendapatan rendah (B40) susulan terbeban dengan hutang, kesukaran menambah pendapatan serta dibuang kerja.

“Sebagai anak jati, saya berbangga menceritakan usaha Kerajaan Selangor mengangkat anak muda untuk turut serta dalam pentadbiran negeri.

“Penggerak Belia Selangor (PeBS) telah diperkenal dan diletak di seluruh 56 DUN (Dewan Undangan Negeri) Selangor untuk sama merancang strategi, program dan ekonomi anak muda,” katanya dalam persidangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2020 diadakan secara maya hari ini.

Katanya, menerusi Belanjawan Selangor 2020, anak muda terus diberi perhatian apabila RM1 juta diperuntukkan sebagai subsidi bagi Roda Darul Ehsan (RiDE).

“Terkini, Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) menambah RM1 juta lagi ke atas dana awalan. Program ini diperkenal bagi membantu mereka berkelayakan mengambil lesen motosikal dengan bantuan subsidi daripada Kerajaan Selangor.

“Ini adalah untuk memudahkan anak muda turut serta dalam sektor ekonomi gig dan sebagainya,” kata Pengarah Komunikasi AMK Selangor itu.


Pengarang :