Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) meninjau proses saringan Covid-19 yang dikendalikan petugas kesihatan Klinik Selcare di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, Batu Caves pada 19 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Saringan percuma diteruskan, tumpu lokasi jangkitan tinggi

SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM10.7 juta bagi meneruskan Program Saringan Covid-19 fasa ketiga bertumpu di lokasi jangkitan tinggi termasuk sektor perkilangan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif secara percuma itu menyasarkan 100,000 individu terutama untuk mengesan `pembawa senyap’ wabak dalam komuniti.

“Sejak tahun lepas, Kerajaan Negeri melaksanakan saringan percuma fasa pertama di kawasan tertentu manakala fasa kedua bermula 8 Mei tahun ini sehingga 10 Jun (esok) di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sehingga semalam, seramai 117,314 individu telah menjalani saringan Covid-19 fasa kedua,” katanya ketika mengumumkan Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ meliputi tiga strategi dan 25 program memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Selangor mula melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di lokasi panas pada11 April tahun lepas selain turut memperkenal saringan pandu lalu.

Sejak 8 Mei tahun ini, Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN dengan menyasarkan 100,000 penyertaaan.

Semalam Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memuji langkah agresif Kerajaan Negeri melaksana program Saringan Komuniti secara percuma.


Pengarang :