Niel Shofia Fitrah Abdul Muthalib, 18, mempelajari teknik dan kaedah menjawab soalan peperiksaan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 ketika tinjauan pada 5 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tuisyen percuma manfaatkan 70,000 pelajar SPM

SHAH ALAM, 9 JUN: Seramai 70,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menerima manfaat melalui Program Tuisyen Rakyat Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata modul pembelajaran bercetak akan diedarkan kepada 50,000 pelajar yang menghadapi kekangan pembelajaran secara maya dengan perbelanjaan RM2.1 juta.

“Portal ePTRS.my pula digunakan sebagai sebagai medium pembelajaran Tuisyen Rakyat versi digital. Modul pembelajaran bercetak boleh diakses secara dalam talian di portal ini.

“Seramai 20,000 pelajar yang akan menduduki SPM bakal menerima manfaat dari inisiatif ini dengan peruntukan RM500,000,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bantuan itu sebahagian inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Sementara itu, Amirudin berkata seramai 286 pelajar tajaan Yayasan Selangor yang menamatkan pengajian tahun ini diberi penangguhan bayaran kepada Januari 2022 dengan kesan kewangan RM1 juta.

“Yayasan Selangor juga akan membantu merancang semula pembayaran balik pinjaman pendidikan kepada seramai 2,088 bekas pelajar tajaannya, mereka digalakkan menghubungi Yayasan Selangor,” katanya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi membantu menyediakan makanan dan barangan keperluan asas kepada 7,500 pelajar di institut pengajian tinggi awam dan milik Kerajaan Negeri.


Pengarang :