Mohd Ghazali Anuar bercakap ketika pengumuman keputusan E-bazar Raya Selangor dan pelancaran Sidec TV secara maya pada 23 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selamatkan peniaga, e-bazar Selangor bantu lonjak jualan ketika PKP

SHAH ALAM, 24 JUN: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sejak tahun lalu menjejaskan hasil jualan ramai peniaga terutama perusahaan kecil.

Pengusaha sambal pecal Mohd Ghazali Anuar tidak terkecuali daripada berdepan situasi itu apabila jualannya merosot teruk sekali gus menjejaskan pendapatannya.

Tidak berputus asa, dia kemudiannya berusaha menghasilkan produk baharu iaitu peria dan pegaga rangup dan berjaya menjual kira-kira 60 botol sehari.

Hasil jualannya bertambah baik selepas menyertai beberapa siri kempen e-bazar Selangor mulai tahun lalu melalui platform e-dagang Shopee.

“Apabila e-bazar Selangor diperkenalkan, jualan meningkat kepada 160 botol sehari dengan keuntungan kasar RM3,000,” katanya pada pengumuman keputusan kempen e-Bazar Raya Selangor secara maya semalam.

Sementara itu, pemilik kedai permainan video dikenali sebagai Alvin berkata e-bazar membantu perniagaannya lebih dikenali ramai ketika PKP.

“Sewaktu PKP, masyarakat duduk di rumah dan mereka mencari permainan video untuk mengisi masa lapang. Apabila menyertai e-bazar, saya boleh menjalankan perniagaan 24 jam.

“Jualan juga meningkat kepada 100 tempahan berbanding 30 sahaja sebelum ini,” katanya yang menjalankan perniagaan di Lazada.

Empat kempen e-dagang yang dilaksana Kerajaan Selangor berjaya menghasilkan kesan ekonomi RM2.95 bilion dan RM144.7 juta jualan terus.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kempen membabitkan pelaburan RM7 juta turut menarik 294,119 perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk 74,837 peniaga baharu.

 


Pengarang :