AGENDA NASIONAL

Sindiket seludup lebih 3,000kg tembakau kunyah tumpas

SHAH ALAM, 9 JUN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II (Selangor) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan tembakau kunyah untuk pasaran tempatan dalam dua serbuan di Ipoh, Perak, Ahad lepas.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah Rameli Ahmad berkata dalam serbuan di dua premis di Simpang Pulai dan Bandar Seri Botani itu pihaknya merampas 3,371.86 kilogram (kg) tembakau kunyah dianggarkan bernilai RM168,596 dengan jumlah cukai RM211,587.98.

“Dalam serbuan pertama, JKDM menemukan sejumlah guni putih disyaki mengandungi tembakau kunyah seberat 2,052.16 kilogram (kg) manakala sebanyak 1,319.70 kg lagi tembakau ditemukan dalam serbuan kedua.

“Pasukan turut merampas beberapa buah mesin bernilai RM12,500 dipercayai digunakan untuk memproses dan membungkus tembakau kunyah serta menahan seorang penjaga premis warga Bangladesh dalam serbuan pertama untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rameli berkata kedua-dua kes tersebut disyaki mempunyai kaitan dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Mereka yang disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua atau kesalahan seterusnya boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 20 kali nilai barang atau RM200,000 yang mana lebih besar dan tidak melebihi 40 kali nilai barang atau RM1,000,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :