Minyak masak sawit dalam botol lima kilogram dijual pada harga RM30.90 sepanjang 8 Januari hingga 7 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tetap harga siling minyak masak, kekang kenaikan tidak munasabah

SHAH ALAM, 10 JUN: Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu menggesa kerajaan menetapkan harga siling minyak masak bagi mengekang kenaikan harganya.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihak berkuasa boleh menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi tujuan berkenaan.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu turut mencadangkan harga dua peringkat, minyak sawit untuk eksport dijual pada kadar pasaran manakala bagi penggunaan domestik pula lebih rendah.

“Melalui cara ini harga minyak masak tempatan menjadi lebih murah berbanding sekarang. Bukan sahaja harga murah bahkan subsidi ditanggung kerajaan berkurangan.

“Cadangan ini saya kira munasabah memandangkan hanya satu juta tan minyak sawit mentah digunakan untuk tujuan ini berbanding lebih 20 juta bagi eksport yang memberikan pendapatan lumayan kepada industri yang mencecah RM70 bilion,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu turut mencadangkan kerajaan membiayai subsidi semua bekalan minyak masak dalam negara sama ada secara berterusan atau sekali bagi menurunkan harganya ke tahap tidak membebankan rakyat.

Dalam pada itu, beliau menolak kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Khairuddin Aiman Ghazali bahawa kenaikan harga bahan berkaitan pada masa kini sebagai munasabah.

“Kenaikan lebih 100 peratus berbanding harga Disember 2019 dahulu adalah tidak munasabah. Suatu tindakan segera oleh kerajaan harus dilakukan,” katanya.


Pengarang :