Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 9 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Saringan Komuniti, suntikan vaksin dilaksana seiring langkah kawal Covid-19

SHAH ALAM, 10 JUN: Kerajaan Negeri melaksanakan Saringan Komuniti seiring dengan kempen suntikan vaksin Covid-19 sebagai persediaan melindungi generasi muda yang belum layak menerima imunisasi.

Dato’ Menteri Besar berkata kawalan kesihatan perlu diteruskan meskipun negara telah mencapai imuniti kelompok pada masa depan.

“Saya ambil contoh United Kingdom bagaimana kejayaan vaksinasi mereka sekitar 56 peratus tetapi tetap melakukan saringan awam dan bersasar sehingga lebih 1.8 juta disaring sehingga hari ini.

“Kita harus melihat walaupun imuniti kelompok berjaya dicapai namun ia tidak capai 100 peratus kerana masih ada golongan tidak boleh divaksinasi iaitu generasi bawah usia 18 tahun.

“Andai kata imuniti kelompok dapat dicapai, kerajaan mula membenar rentas sempadan dan akhirnya Covid-19 kembali semula. Oleh itu, jangan terlalu awal isytihar kejayaan, kita perlu berdisiplin kekal mematuhi SOP (tatacara operasi piawai),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian menerusi program bertajuk Pakej Kita Selangor 2.0: Strategi Tangani Covid-19, Perkukuh Ekonomi di Astro Awani malam tadi.

Kerajaan Negeri giat menjalankan program Saringan Komuniti percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 8 Mei hingga 10 Jun yang memanfaatkan penduduk berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri.

Semalam, Amirudin menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 mengumumkan Kerajaan Negeri melancarkan program Suntikan Vaksin Covid-19 Selangor untuk mempercepat imuniti kelompok rakyat dengan implikasi kewangan RM200 juta.


Pengarang :